Isnin, 31 Oktober 2011

SEBULAN TAK BUAT N3

Dah sebulan lebih tak buat N3 pun.  Sebenarnya dah tawar hati dan hilang minat blogging ni.

Beberapa bulan kebelakangan lagi dah rasa macam ni.  Tapi digagahi juga ke Maya untuk membaca beberapa blog yang diminati.

Apabila blog paling diminati tiba-tiba hilang, tersentak juga dibuatnya.  Sampai sekarang tak juga ada!  Tak faham kenapa!

Isnin, 19 September 2011

BUKAN SATU FORMULA

Hidup bukan matematika, tapi misteri.  Sedap bunyi ritmanya, cuma seperti bukan realiti.  Tapi itulah hakikatnya.

Dalam keluarga kami sudah lama pernikahan diatur di dalam kalangan keluarga.  Anak abang dan anak adik; anak kakak sama anak abang atau adik-adik.  Begitulah.

Tapi sebenarnya itu bukan satu formula kejayaan dan kebahagiaan rumah-tangga.  Ada yang bercerai-berai dan membuat hubungan sesama ahli keluarga menjadi sukar.

Isnin, 29 Ogos 2011

SELAMAT HARI RAYA.

Sah la kita beraya besok.  Sempena Hari Raya ini, saya ingin turut mengucapkan selamat kepada semua kawan dan rakan.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
Maaf Zahir Batin

Semoga ceria dan bahagia bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai semua. Namun begitu, kita mesti terus berwaspada, terutamanya semasa di jalanraya.

Ahad, 31 Julai 2011

RAMADHAN AL MUBARAK TIBA LAGI

Insya Allah, bulan Ramadhan yang mulia akan berlabuh lagi selepas Maghrib malam ini.  Umat Islam yang beriman diseluruh dunia akan berebut-rebut untuk mengisikannya dengan amalan yang berganda kerana mendambakan ganjaran pahala yang berganda.

Sama-samalah kita berdoa semoga kita dipanjangkan umur, diberkati dengan kesihatan dan kekuatan yang baik untuk melakukan sebanyak yang terdaya.  Semoga semuanya sempurna dan baik.  Amin.

Isnin, 18 Julai 2011

KUNING OK

Geli hati juga bila ditimbang fikir.  Hari tu riuh pasal warna kuning.  Asal kelihatan dengan warna kuning saja, boleh cekup.

Sekarang kuning sudah boleh.  OK kalau pakai warna kuning.  Tapi jangan ada logo BERSIH saja!

Kita tak boleh bersih lagi agaknya.  Entah la!

Ahad, 3 Julai 2011

SYAABAN YANG MULIA

Syaaban bulan Nabi saw.  Banyak ganjaran pahala menanti.  Begitulah ikut ajaran Nabi.

Walaupun ganjarannya tak sebaik Ramadhan di mana kita diwajipkan berpuasa, pahalanya besar juga.

Jadi eloklah kita mula tambahkan amalan dari sekarang.  Nanti Ramadhan lebih mudah.  Insya Allah.

Sabtu, 25 Jun 2011

REHAT SAKIT

Ingat nak lebih banyak berkongsi bulan ni.  Tetapi kita hanya merancang.  Lain pula ditakdirkan.

Hampir seminggu terpaksa berehat sakit.  Mulanya ruam merah dan gatal-gatal.  Lepas tu demam.

Kata doktor alahan kepada persekitaran.  Mungkin saja kerana cuaca yang agak panas kebelakangan ini.

Alhamdulillah hari ini rasa sudah lebih sihat.  Terus la jenjalan di blog favoret.  :)

Khamis, 16 Jun 2011

PETAI JUGA UBAT

Masa muda remaja dulu selalu dengar orang tua berkata bahawa petai adalah penawar baik bagi orang yang mempunyai masaalah kencing manis.  Semalam baru tahu rupanya petai ada beberapa khasiat sebagai ubat kepada beberapa lagi.

Petai juga boleh membantu mengurangkan depressi katanya.  Di samping itu petai boleh mengatasi sengugut.  Petai juga membantu stimulasi himoglobin dalam badan dan dapat membantu kes anemia.  Kadar potasium yang tinggi dan kadar garam yang rendah juga dalam membantu tekanan darah tinggi.

Jadi maknanya jika seseorang mengamalkan memakan petai,  dia dapat mengelakkan masalah kencing manis, kurang darah, dan darah tinggi.

Petai

Cumanya sekarang harga petai agak mahal.  Dua keping petai untuk sekali makan tu sudah berharga RM 2- 3 sekarang ini.

Isnin, 23 Mei 2011

MENGELUH KERANA KANTUNG KECUT

Kenaikan harga minyak dan beberapa harga barang keperluan lain menyebabkan kesan berangkai yang amat dirasai.  Ikutkan geram di hati mahu saja menghentak-hentak meja merea yang diberi mandat dan kuasa.

Tapi kalau seorang diri saja buat, tak pasal pula dituduh menghasut atau membuat kacau.  Silap-silap masuk lokap pula!

Tak tahu nak buat apa.  Sedih dan geram ini membuat diri jadi lebih stress.  Stress ini malah mendatangkan pelbagai masaalah.

Sabtu, 7 Mei 2011

HARI IBU

Hari ibu tahun ini datang lagi.  Bila melihat gambar anak-anak dan ibu-ibu mereka mesra menyatakan bahawa ibu mereka begitu bermakna membuat saya rasa saya gagal menjadi seorang ibu yang baik

Selama ini tiada seorang pun anak saya menyatakan mereka bangga menjadi anak saya.  Malah mereka seperti acuh tak acuh saja.

Sedih rasa hati ini!  Saya tak tahu di mana silap saya.

Sabtu, 30 April 2011

RAKAM GAMBAR PENGANTIN

Saya juga nak menghias laman Maya dengan gambar pengantin di raja England yang berlangsung semalam.  Bukan apa, saja nak buat kenangan.

Pengantin Di Raja

Puas juga mencari gambar, tapi ini saja yang dapat.  Kebanyakan di blog rakan sudah siap tertera nama mereka.

Ada juga di beberapa blog lain.  Tapi tak berani pula nak masuk sebab ada perangkap kait orang dengan iklan komersial!  Kata anak saya, 'Komer sial!'

Sabtu, 16 April 2011

JENNIFER LOPEZ WANITA TERCANTIK

'People Magazine' telah menamakan Jennifer Lopez (J Lo) sebagai wanita tercantik di dunia.  Penyanyi popular ini memang mempunyai wajah bersih dan menawan.

Tapi seperti kata orang, lain orang lain nilai dan ukurannya.   J Lo sendiri pun terkejut dengan pengiktirafan itu.   Walaupun begitu dia tetap gembira.

Memang seronok diiktiraf diperingkat dunia.  Sekarang dunia melihat kecantikan hatinya juga melalui rancangan popular 'American Idol' musim terkini yang sedang disiarkan di TV.

Rabu, 6 April 2011

HARGA NAIK

Nampaknya banyak harga barang telah naik.  Kemungkinannya akan naik lagi dan terus naik.  Begitulah polanya.  Berapa orang yang menyuarakan hal ini?

Perit rasanya.  Kalau di luar negara, terutamanya di Britain dan Amerika, ada bantuan dihulurkan bagi menampung kepayahan yang dialami oleh rakyat.

Kita di sini hanya dapat mengeluh.  Bagi yang makan gaji, masaalahnya semakin terasa.

Selasa, 22 Mac 2011

JEJARI KENTANG PENYEK

Sebenarnya saya tak tahu apa ke nama makanan ini dalam Bahasa Malaysia.  Tapi kami sekeluarga memang amat suka dengannya.  Ia kira satu versi 'hash brown'  kot!

Mula kami makan ialah semasa bercuti ke Singapura dua tahun lepas.  Ada kawan suami bawa ke rumah mereka.  Antara makanan yang disajikan ialah makanan ini.

Nak tanya banyak dan minta resipi dari tuan rumah segan pula.  Jadi sekadar cuba-cuba pancing semasa duduk borak-borak.  Tapi tuan rumah pun tak beri resipinya juga.  Beliau hanya beritahu ia kentang penyek goreng.

Jadi selepas itu cuba-cuba sendiri saja.  Walaupun tidak begitu tepat, tapi kira menjadilah.  Janji sedap!  Beginilah rupanya.


Bahan-bahan yang digunakan ialah kentang, sedikit tepung jagung, lada sulah dan garam.  Setelah beberapa kali buat, saya betulkan ikut citarasa sendiri.

Sabtu, 12 Mac 2011

LEDAKAN BENCANA ALAM

Tiba-tiba dunia dikejutkan dengan tsunami di Jepun pula.  Tsunami dilaporkan melanda berdekatan Bandar Natori di Utara Jepun.  Aduh, sungguh menyeramkan.  Banyak nyawa juga sudah terkorban.

Ledakan Bumi
Sumber: Media on-line

Tempias tsunami ini malah sudah terasa sampai ke persisiran Amerika.  Mengikut berita, ribuan penduduk di pantai Pacific Amerika Utara dan Selatan lari meninggalkan rumah mereka.

Walaubagaimanapun, kekuatan gelombang besar air yang merentasi Lautan Pacific menurun.  Jadi hanya berlaku ombak besar dan banjir di sana sini.

Namun begitu, satu dunia mengambil langkah berjaga-jaga.  Sampai ke tanahair kita pun ada amaran supaya berjaga-jaga terutamanya di kawasan Labuan dan Sabah.

Jabatan Khidmat Kajicuaca Malaysia cawangan Sabah menegaskan bahawa laut akan bergelora dari tahap biasa tetapi tidak merbahayakan.  Orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi kawasan pantai.  Namun begitu, ramai penduduk di kawasan berdekatan ambil langkah untuk lebih prihatin dan berjaga-jaga.

Khamis, 3 Mac 2011

PERGI BELANJA & MAKAN

Petang tadi saya ikut sepupu pergi belanja di pasar malam.  Ternampak sebuah kedai makan baru tak jauh dari situ.  Sepupu terus parkir kereta dan kami singgah untuk meninjau.

Ada beberapa pilihan makan petang yang agak menarik.  Selain dari aneka jenis mee/mee hoon/kueteow, ada juga aneka jenis bubur dan kueh-mueh.

Saya tertarik kepada roti surai dengan tiga jenis kari iaitu kari daging, ayam dan udang.  Kami pesan roti surai dengan kari ayam kerana kami lebih suka makan ayam.

Satu Set

Satu set pesanan terdiri dari empat keping soti surai dan semangkuk kari ayam.  Harganya boleh tahan juga iaitu RM 4.00.  Rasanya sedap juga, cuma roti surainya agak nipis.

Isnin, 21 Februari 2011

SNEK PERIA GORENG

Akhirnya hari ini barulah terbuat snek goreng peria.  Ada kawan menamakannya kerupuk peria.  Apa pun, makanannya sama.

Ada orang membuatnya untuk dimakan sebagai sayuran bersama nasi.  Tetapi peria goreng ini juga memang sedap dimakan begitu saja sebagai snek atau pun sebagai hidangan makan petang. 

Snek Peria Goreng

Pertama sekali makanan ini saya makan ialah semasa di majlis makan di rumah seorang teman rapat tidak berapa lama dulu.  Rasanya sedap seperti snek tepung gunting.

Resipi snek ini sebenarnya adalah pemberian Datin Dr Fauziah yang saya jumpa pertama kalinya di majlis yang sama.  Tapi resipinya saya minta semasa berjumpa kembali dengan beliau di satu majlis lain baru-baru ini.

Saya tersalah caranya sedikit menyebabkannya jadi berketul dan melekat di antara sama lain.  Datin sudah pesan supaya jangan digoreng sekaligus.  Tangan ni pun tak pandai pula nak menceraikan yang melekat.  Walaubagaimanapun, rasanya lumayan sedap.

Isnin, 14 Februari 2011

HARGA BARANG & PERKHIDMATAN NAIK

Ramai orang sudah mengeluh panjang dengan keadaan barang yang naik.  Macam-macam barang yang harganya sudah naik.

Ada orang yang masih tak berapa perasan kerana mereka banyak duit.  Tetapi kebanyakan orang sudah merasainya.

Selain dari kerana kekurangan bekalan, kita dikenakan cukai.  Saya sekeluarga pun baru perasan.  Bila beli barang dan makan ada cukai jualan.  Jadi harga barang dan perkhidmatan naiknya berganda.

Sampai bila perkara seperti ini mesti ditanggung oleh kita?

Khamis, 3 Februari 2011

TAHUN BARU CINA

Hari ini adalah Hari Tahun Baru buat kaum China. Saya pun ikut mengucapkan selamat juga kepada semua kaum Cina, terutama warga Malaysia kita.
GONG XI FA CAI
Semoga tahun Arnab ini akan lebih baik dari sebelumnya untuk kita semua.  Amin

Jumaat, 28 Januari 2011

NAK DUKUNG ANAK

Hari ini anak saudara suami disahkan mengidap barah hati dan juga pra-diabetik.  Muda lagi umurnya, iaitu baru pertengahan tiga puluh.  Semua keluarga turut sedih.

Ternyata penyakit-penyakit ini tidak mengenal usia.  Di samping sudah diberi ubat untuk penyakitnya, dia juga dijadualkan menjalani beberap ujian.

Saya teringat N3 Datin Dr Fauziah yang menyentuh tentang beberapa petua-petua tradisional untuk mengatasi masaalah kesihatan seperti ini.  Selepas membaca semula beberapa N3s beliau, ternyata beliau menyarankan supaya mengamalkan minum air dukung anak.

Besok ramai sanak saudara berjanji untuk bantu mencari pokok dukung anak ni.  Semoga dipermudahkan dan anak saudara suami akan tertolong nanti. 

Ahad, 16 Januari 2011

HERAN, MUAK & GELI RASANYA

Saya memang tak habis fikir tentang manusia wanita yang bernama Ummi Hafilda tu.  Ada rupanya wanita yang serendah itu akal dan hati nuraninya.  Heran betul!  Rasa muak dan geli dengan telatahnya!

Apa yang paling mengecewakan ialah dia terpekik sana sini cuba menekankan tentang keaiban orang dan mengaku melakukan demikian kerana Islam!  Betapa tidak Islamnya perbuatan dia!

Seorang Islam tidak akan menjaja keburukan orang, biar benar sekalipun!  Agama melarangnya kerana bukan begitu caranya untuk memperbaiki keadaan yang tidak baik dan membantu orang memperbaiki kelemahan dan keburukan diri mereka.

Mahukah dia orang juga turut menelanjangkan diri dia nanti.  Memang ada banyak bukti keburukannya!

Tentulah perbuatan seumpama yang dilakukan itu jauh lebih keji jika semuanya satu fitnah jahat.  Balasannya di Akhirat nanti amat pedih kerana dosanya berat seperti membunuh orang.  Apapun tujuannya, caranya adalah anti-Islamik!

Jumaat, 7 Januari 2011

BUAT JAMU SENDIRI

Biasanya orang membeli jamu yang sudah diproses di kedai.  Kebanyakan jamu adalah produk Indonesia.  Sekarang sudah ada dua tiga syarikat tempatan yang menjadikan herba sebagai produk mereka.  Yang ketara ialah produk orang kampung.

Sebenarnya kita boleh membuat sendiri jamu yang kita perlu.  Banyak bahan mentah digunakan memang barang yang kita selalu beli sebagai barang keperluan iaitu seperti halia, serai, kunyit, bawang merah, bunga cengkih, beras dan limau.

Bahan-bahan yang sentiasa kita beli untuk kegunaan harian ini ada khasiat yang boleh dimanafaatkan menjadi bahan jamu.  Umpamanya halia boleh memanaskan badan dan menghilangkan angin; serai boleh dicampur dengan sirih untuk menghilangkan bau badan; dan kunyit boleh menghilangkan gatal serta menyembuhkan luka.

Barang keperluan seharian mudah dijadikan jamu dan boleh dimakan/minum secara teratur untuk mengatasi masaalah atau menjaga kesihatan badan.  Kita hanya tinggal menumbuk atau mengisarkannya dan diamal makan/minum setiap hari mengikut keperluan.  Ini adalah lebih baik kerana kita buat sendiri secara segar dan tidak mempunyai bahan awet.

Bahan yang tumbuh liar sebagai sebahagian dari rumput rampai di halaman rumah kita juga boleh dijadikan jamu untuk bantu menjaga dan mengatasi masaalah kesihatan.  Antaranya ialah byam duri dan pokok dukung anak.  Bayam duri boleh mengubati selsema, sesak nafas dan bisul.  Sementara dukung anak boleh mengatasi masaalah barah hati dan batu karang.

Sabtu, 1 Januari 2011

BYE-BYE 2010 SELAMAT DATANG 2011

Sempena kedatangan baru, saya ingin turut mengucapkan selamat kepada semua kawan dan rakan.  Kita melangkahlah dengan azam dan cita-cita yang jauh lebih baik

SELAMAT
TAHUBAR2011

Mana-mana azam dan cita-cita yang tidak terlaksana di tahun 2010, boleh juga di bawa ke depan untuk tahun 2011 ini pula.  Mungkin juga lebih elok jika kita nilai semula dan perbaiki supaya dapat dicapai.