Jumaat, 28 Mei 2010

KELULUSAN SAJA AGAMA

Di dunia akhir zaman sudah tidak apa yang mustahil.  Ada  anak bersekedudukan dengan mak atau bapa, ada orang bertukar-tukar pasangan dan hari ini Harian Metro melapurkan ada imam berjaya menipu penduduk tentang keadaan dan perihal dirinya.

Saya petik isi utama berita itu di sini.
Seorang imam yang juga guru agama di dua surau di sebuah taman perumahan di Klang, Selangor, bukan saja selesa melakukan maksiat dengan bersekedudukan lebih sebulan dengan ‘buah hati’ di rumahnya, malah turut bijak menipu jemaah surau kononnya wanita berkenaan isterinya yang sah.

Kegiatan imam ‘nakal’ berusia 26 tahun terbabit terbongkar apabila sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu rumahnya, kira-kira jam 2 pagi kelmarin.

Sebelum serbuan, penguat kuasa Jais yang mendapat maklumat awam melakukan intipan dan siasatan lanjut mendapati rumah itu dihuni imam terbabit dan wanita berusia 27 tahun dipercayai kekasihnya dan menjadi pasangan ‘suami isteri’, sejak lebih sebulan lalu.
Ini adalah cerita yang sudah terbongkar.  Tentu ada pelbagai cerita lagi di luar sana.  Bukan ganjil orang yang berkelulusan agama bekerja saja di jabatan agama tetapi masih juga isteri dan anak-anak tidak bertudung; keluar berpegangan dengan buah hati dan sebagainya.

Saya sendiri pernah lihat uztaz yang suka mengorat anak muridnya.  Di samping itu ada uztazah yang memakai gaun dan seluar jeans tanpa bertudung di luar waktu kerja.  Jadi mereka ini hanya mempunyai kelulusan agama.

Ahad, 23 Mei 2010

AKIBAT MERUSUH!

Nampak jauh bezanya orang-orang Thailand dan Indonesia.  Mereka suka gaduh dan merusuh serta degil.  Apa yang terjadi di Bangkok tu baru le namanya merusuh.

Kerajaan Thai pula yang lebih banyak bertolak ansur.  Tetapi setelah dua bulan, langkah yang diambil oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menterinya Abhisit harus dipuji dan dikira amat wajar dan bertepatan sekali.

Bergotong Royong Bersihkan Jalanraya

Selepas operasi gempur oleh tentera Thai di pusat Bandaraya Bangkok, hari ini rakyat bergotong-royong untuk membersihkan jalanraya.  Katanya ribuan anak sekolah dan rakyat tempatan Bangkok turut serta dalam usaha ini.  Mereka sapu dan cuci beramai-ramai segala kotoran akibat dari perbuatan kumpulan yang merusuh!

Khamis, 20 Mei 2010

CERITA YANG BENAR

Bekas CEO anak syarikat MIC, Ms Chithirakala, telah ditahan di Lapangan Terbang dan tidak dibenarkan menaiki pesawat untuk ke India.  Beliau diberitahu oleh pihak Imigresyen bahawa beliau dicegah dari keluar negara.

Saya tidak arif dalam soal-soal undang berkaitan kesnya di Mahkamah.  Tetapi kes permohonan supaya pasport anatarabangsanya ditahan akan didengar pada 25 Mei nanti.

Memanglah pelek juga kenapa beliau harus meneruskan perjalanannya ke India jika kesnya di Mahkamah akan didengar dalam beberapa hari saja lagi.  Jika melihat kepada bagasinya di dalam gambar dibawah, memang nampak amat besar.  Kalau kata nak pergi untuk tempuh yang lama pun boleh percaya juga.

Bekas CEO - Chithirakala di KLIA

Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) difahamkan telah memohon kepada Mahkamh supaya menahan pasport beliau atas alasan mereka percaya beliau akan meloloskan diri.  Jika begitu, kenapa beliau mesti teruskan perjalanan sedangkan kes itu sudah difailkan di Mahkamah dan akan didengar dalam masa beberapa hari saja.

Beliau menegaskan bahawa beliau sudah pun memaklumkan tentang rencananya untuk ke luar negara itu kepada SPRM.  Mengikut katanya, SPRM memberitahu beliau boleh ke luar negara asalkan beliau memberitahu SPRM sekurang-kurangnya seminggu sebelum berbuat demikian.

Sebagai seorang yang berpelajaran tinggi, tak mungkin beliau tidak dapat melihat tentang kesan segala keputusan dan pergerakannya.  Tentu beliau sendiri pun akan membuat konklusi yang sama jika perkara yang sama itu dilakukan oleh orang lain.  Jika bercerita tu biarlah  sekurang-kurangnya kedengaran benar dan logik.

Selasa, 18 Mei 2010

ANGIN AHMAR ITU FATAL

Seorang kenalan dan jiran tiba-tiba terkena 'stroke' atau apa yang juga kita ketahui sebagai angin ahmar.   Beberapa jam sebelum itu, saya menyapanya yang sedang menguruskan pokok bunga di halaman luar  pagar rumahnya.

Saya amat terkejut dengan berita kematiannya awal malam tadi.  Ketika itu pula saya sedang berada di rumah saudara yang juga sedang mengalami sakit yang sama.  Tetapi saudara saya itu sekadar lumpuh seluruh anggota sebelah kirinya, dan tidak boleh bercakap.

Memang benar angin ahmar ini adalah satu penyakit yang fatal.  Seseorang yang terkena angin ahmar, biasanya akan lumpuh.  Jika pendarahan dan atau pembekuan di otak berlaku lebih dari empat jam dan tidak mendapat pertolongan secepatnya, biasanya ia akan membawa maut.

Saya diberitahu ada doa yang dinamakan doa angin ahmar yang harus menjadi amalan kita.  Insya Allah, dengan mengamalnya, kita akan terpelihara dari terkena angin ahmar.  Saya pun nak pergi mencari buku doa ini dikedai buku.

Ahad, 16 Mei 2010

TERIMA KASIH GURU-GURU

Saya ucapkan selamat menyambut hari guru kepada semua ibu-ibu dan bapa-bapa seluruh negara bersempena sambutan hari ini.  Teruskanlah berbakti dengan penuh dedikasi, jujur dan ikhlas kepada semua anak bangsa.

Segala baik budi dan jasa pasti dikenang dan diberkati.  Terima kasih dari murid dan pelajar semua.

Khamis, 13 Mei 2010

ISU JUDI SUKAN

Bila Timbalan Menteri Awang Adek mengumumkan cadangan untuk mengahalalkan pertaruhan sukan, ramai lantang bersuara menentang.  Tapi dalam terdengar suara-suara membantah isu mengeluarkan lesen judi bertaruh bersabit bolasepak, rupanya kerajaan telah pun meluluskan untuk 'menghalalkan' pertaruhan sukan.

Sebuah syarikat judi,  Ascot Sports Sdn Bhd telah pun ditawarkan lesen sambungan pertaruhan sukan.  Mereka pertama kali mendapat itu pada tahun 1987.  Kini lesen itu sah disambung tempuh.

Jadi benarlah Malaysia juga adalah sebuah negara Islam yang menghalalkan judi pertaruhan sukan ini.  Sedihnya!

Sabtu, 8 Mei 2010

TAK SEMPAT PERGI KENDURI

Saya ni tengah geram pun ada juga sebab jangkanya nak pergi menghadiri majlis perkahwinan malam ini.  Oleh kerana suami balik lewat, terpaksa dibatalkan.

Bayangkan la selepas cepat-cepat solat Maghrib dah berdandan, tup tup tak jadi pergi pula.  Suami kata permainan mereka habis lewat.  Jadi dia solat Maghrib di Klub dulu, barulah menghala balik.  Mana sempat sampai.  Dengan keadaan lalu lintas yang sesak di lembuhraya berhampiran rumah kami, dia sampai di rumah pun dah 8.40 malam.

Nak pergi kenduri apa lagi?  Kalau kenduri di rumah, bolehlah juga.  Ini kenduri tu di Dewan besar yang jaraknya pun perlukan masa perjalanan setengah jam.  Suami hanya senyum memohon maaf.  Geram betul!

Jumaat, 7 Mei 2010

INTERNET TERGANTUNG!

Dari sejak Selasa, internet kat rumah dah mula meragam.  Macam orang kena sawan itu gayanya.  Lembab dan hilang-hilang.

Semalam dia meragam ke tahap maksima.  Geram betul dibuatnya.  Dah macam-macam dibuat dan dicuba, tapi tak juga menjadi.  Dia asyik tergantung!

Awal pagi ni tadi mereka tukar modem baru.  Nampaknya dah okey la.  Harap-harap tak ada masaalah lagi selepas ini.

Ahad, 2 Mei 2010

SIREH PENAWAR

Saya dah baca paparan rakan blogger tentang khasiat sireh.  Tapi hari ini saya melihat sendiri bagaimana seorang kanak yang berdarah hidungnya, telah dirawat dengan sireh ini.

Kita orang sedang menyediakan makanan untuk high-tea bersama saudara-saudara terdekat dan juga jiran terdekat.  Tiba salah seorang anak jiran terjatuh semasa kanak-kanak sesama mereka main kejar-kejar.

Bapa kanak-kanak berkenaan segera bergegas ke rumah jiran yang duduk agak jauh sedikit untuk mengambil daun sireh.  Saya perhatikan bapanya mengambil tiga helai sireh dan digulung serta diuparkan perlahan ditangan.  Kemudian daun sireh itu dimasukkan ke dalam hidung dan ditekap sekejap.

Darah yang tadi turun meleleh-leleh terus berhenti beberapa ketika selepas itu. Rasa macam satu keajaiban pula.

Kata bapa kanak-kanak berkenaan anaknya memang sering juga mengalami hidung berdarah jika cuaca terlalu panas.  Beliau telah dinasihatkan berbuat begitu.  Mengikut kata yang tahu tadi, sireh ini memang mempunyai khasiat kimia yang dapat mematikan kuman dan menghentikan pendarahan seperti itu.