Jumaat, 30 April 2010

TERPENGARUH AIR SETAN

Allah SWT melarang minuman kertas kerana air itu memabukkan. Bila mabuk manusia hilang kawalan diri dan pelbagai perkara boleh berlaku.

Kita selalu dengar pemandu mabuk terlibat di dalam kemalangan dan ada yang membawa maut.  Ada juga insan yang memperkosa dan diperkosa gara-gara terpengaruh dengan air setan ini.

Inilah yang sering berlaku di sana sini.   Hari ini pun kita mendengar seorang suami memperkosa tetamu di depan isterinya sendiri.  Gara-gara mabuk suami hilang kawalan.  Diberitakan dia ditangkap polis untuk siasatan selepas wanita mangsanya itu membuat laporan polis.

Walaupun jelas air minuman keras ini boleh mendatangkan masaalah, anehnya syarikat penerbangan milik kerajaan Malaysia sepenuhnya, MAS, masih menyajikannya di dalam penerbangan ke destinasi antarabangsa.  Malah jenis minuman keras yang dijamu adalah dari jenis mahal.  Penumpang juga boleh minum tanpa had.

Apa logiknya perkara ini diteruskan?  Malaysia adalah sebuah negara Islam, tapi jelas tidak mempamerkan ciri ini dengan amalan begini.

Saya sendiri pernah melihat ada kes penumpang yang mabuk dan berkelakuan tidak senonoh semasa penerbangan kerana terlalu banyak minum minuman keras..  Penumpang yang mabuk menimbulkan masaalah kepada krew kerana mereka menganggu ketenteraman penumpang lain.

Untuk apa dipertahankan amalan menjamu air minuman keras di dalam pesawat  MAS?  Tidak ada syarikat penerbangan lain yang begitu bermurah hati menjamu minuman keras yang berjenama secara percuma kepada penumpang.  Kemudian yang menjamu penumpang pula terdiri dari krew yang majoritinya Melayu Islam.

Sabtu, 24 April 2010

SUAMI DIMADUKAN?

Hari ini berita di Metro menceritakan tentang kisah seorang suami yang meratapi nasibnya yang sudah dimadukan oleh isterinya.  Saya petik sebahagian berita berkenaan:
Alangkah terkejut dan sebak hati seorang pemandu teksi sebaik mendapat tahu dia kini `bermadu’ dengan lelaki lain, selepas isterinya menikah satu lagi, minggu lalu.

BERMADU...Azman menunjukkan surat perakuan nikahnya yang masih lagi sah. Isteri berusia 45 tahun yang juga tukang masak di sebuah agensi kerajaan di Bangi, dekat sini, dipercayai menikah kali kedua ketika masih bergelar isteri yang sah kepada pemandu teksi berkenaan, pada 16 April lalu.

...... Menurut Abd Halim (Pegawai Tadbir Agama,Sepang), wanita berkenaan dipercayai menggunakan surat perceraiannya dengan suami pertama untuk berkahwin dengan suami keempat.
Jika nak baca berita tu dengan lebih lanjut, sila klik di bawah.  Saya nak komen sikit pasal status 'si suami' dan juga tentang 'isterinya' itu.

Diberitakan, pemandu teksi berkenaan telah pun melafazkan talak.  Dia melafazkannya di dalam keadaan terpaksa kepada 'isterinya' pada pertengahan Januari lepas dengan bersaksikan kaum keluarga 'isteri' tapi belum mendaftarkannya.

Jika begitu, tak adalah istilah dimadukan itu!  Buat saspen betul!  Cuma di sini memang ada kesalahan teknikal perundangan di Malaysia kerana cerai itu belum disahkan.  Kemungkinan 'si isteri' juga melakukan kesalahan lain kerana menyembunyikan fakta kes yang sebenar, dan juga menipu.  Kira, memang kes lain!

Ahad, 18 April 2010

PENDEKATAN GANAS BUKAN CARA ISLAM

Saya amat kesal dengan perkembangan sekarang ini. Semakin sehari semakin sering orang Islam di paparkan sebagai pengganas dan tidak ada sifat toleransi.

Mereka yang digambarkan sebagai pejuang Islam ini sudah pun di label sebagai ekstremis.  Maknanya orang bukan Islam sudah mengiktiraf bahawa mereka itu bukan mewakili ataupun melambangkan orang Islam yang sebenar.

Masaalahnya kenapa mereka terus menerus mengecam orang Islam secara menyeluruh?  Orang-orang Islam sendiri mengecam perbuatan pengganas yang melampau itu.  Tidak ada nas dalam Islam bahawa orang Islam mesti membunuh orang dengan cara membunuh diri sendiri kerana berjihad.

Pengganas ekstrem ini sudah jauh terpesong.  Mereka seperti sudah termakan hasutan syaitan dan alah dengan nafsu sendiri.  Jelas-jelas pendekatan Islam ialah jalan damai.  Islam tidak pernah menyeru kepada cara paksaan dan keganasan.  Islam menyeru orang Islam mempertahankan diri dan maruah agama Islam, tapi segala tindakan mesti selari dengan hukum Islam.

Khamis, 15 April 2010

KERJA SAMPAI KE TENGAH MALAM

Akhir-akhir ini, banyak pula kerja.  Tangan ada dua saja.  Tapi kerja menimbun macam perlukan ratusan dan ribuan tangan.

Banyak dah merungut.  Ya la, kita ni kakitangan perempuan.  Bos suruh buat kerja pejabat.  Lepas suruh juga out-station kerana ada perkara berbangkit dekat tapak.

Hari itu saya dan tiga orang kakitangan lain ditugaskan pergi mengecek tahap kerja di luar kawasan.  Memang la pakai kereta pejabat dan pemandu yang bawa.  Tapi balik hari.  Baru  sejam lebih yang lalu sampai rumah.  Esok awal dah kena pergi kerja balik.  Macam robot pula gayanya!

Ahad, 11 April 2010

MAKAN SATE/SATAY KAJANG

Petang semalam kita orang pergi ke rumah anak saudara suami saya yang duduk di Kelana Jaya.  Selepas mereka menjamu air bujang, mereka mengajak pergi makan satay Kajang.  Hari dah agak petang sangat, jadi saya agak keberatan.  Tetapi anak nak pulak makan satay tu.

Rupa-rupanya satay Kajang yang mereka maksudkan ialah Satay Hj Samsuri di Damansara Utama saja.  Selambar saja mereka kenakan saya.  Kita orang memang tak pernah ke situ.  Tak tahu ada restoran satay Kajang berdekatan di sini. 

Selain dari satay biasa seperti ayam, daging, mereka juga ada satay perut, kambing, arnab, dan rusa.  Ada bermacam-macam makanan tambahan.  Selain ketupat dan nasi himpit, mereka juga ada masakan nasi, mee dan meehoon goreng/sup/bandung dan sebagainya.

Mulai 5 hb April, minggu lepas, mereka juga telah menukar kepada servis layan diri pula.  Jadi kenalah order, bayar dulu dan ambil serta bawa sendiri kuah kacang, ketupat dan timun.  Mungkin itu lebih mudah dan selamat untuk perniagaan.

Hidangan Saya Suami Isteri

Oleh kerana kami ramai, terpaksa sambung tiga meja.  Walaubagaimanapun mereka buat 'order' beberapa set untuk 2 orang supaya senang untuk makan.  Semua berpesan tak mahu pulak gambar mereka disiarkan.  Jadi saya tunjukkan set makanan untuk saya dan suami saja di sini. :)

Rabu, 7 April 2010

DULU KAWAN BAIK BELAKA

Memang begitulah lumrahnya dunia ini. Sewaktu berkawan baik, kentut dan tahi pun dikatakan wangi. Sebaliknya bila dah tak sejalan dan ada rasa benci, minyak wangi terbaik pun dikatakan busuk.

Sekarang ni teramat nyata Datuk K S Nalla dan Ezam Mohd Noor tidak sehaluan lagi dengan mantan mentor mereke Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI).  Ternyata mereka mencari-cari sebab untuk mengutuk DSAI secara lantang dan terbuka.

Hilang segala nilai budi bahasa dan adab serta panduan agama dilempar jauh-jauh.  Saya amat terperanjat dengan kata-kata Datuk Nalla, “I will not be surprised if Anwar fled from the country one day.”  Bertambah hairan juga dengan Ezam yang sekarang mengatakan, "DSAI menyuruh saya melawan Dato' Sri Najib."

Saya pernah mendengar dari mulut Ezam sendiri betapa teruknya dia mengutuk PM sekarang sebelum dia balik kepangkuan UMNO dan Najib.  Inilah yang dikatakan, sudah ludah sekarang terjilat-jilat kembali.

Astaghfirullah.  Semoga semua orang, terutamanya pemimpin ISLAM Melayu, akan ingat bahawa mati dan kubur itu adalah destinasi yang pasti.  Cukup-cukuplah dengan mengutuk, mengeji dan memperlekehkan sesama bangsa dan agama.

Apatah lagi, jangan sesekali memfitnah kerana dosa fitnah itu seakan dosa membunuh.  Janganlah juga bermusuhan.  Jika bersalah, sebesar mana sekali pun, tegur dan doakan saja yang terbaik.

Ahad, 4 April 2010

KAYA PUN SUSAH JUGA

Tengahari tadi di majlis kenduri kahwin heboh dengan satu pasangan orang kelas atasan yang bergelaran Tan Sri dan Puan Sri.  Isterinya kehilangan kerongsang berlian yang katanya bernilai dekat seratus ribu Ringgit.

Mereka duduk makan di meja resepsi utama dan turut merenjis kedua mempelai.  Si Puan Sri ini sedar sebelum mereka beredar ke meja tinggi (= high table .. ye ke?) untuk acara makan beradap dan juga semua tetamu turut makan.

Katanya semua pintu keluar ditutup.  Pihak keselamatan meminta kerjasama semua tetamu untuk bangun dan melihat di sekeliling untuk cuba mengesan keronsang berlian itu.  Pentas pelamin juga diperiksa.  Tetapi tak berjumpa keronsang itu.

Ada seorang Datuk membuat syor untuk memeriksa jalan laluan kedua VVIP dari kereta hingga ke pintu masuk Dewan Makan itu.  Tup, tup, rupanya keronsang itu tertanggal di kereta mereka lagi.

Semua tetamu mesti rasa tak senang.  Pengantin dan keluarganya pun mesti rasa kesal.  Apa tidaknya, cacat majlis itu.  Kaya dia orang sampai menyusahkan orang lain!! 

Jumaat, 2 April 2010

INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJIU'UN - DIN BERAMBOI KEMBALI KE RAHMATULLAH

Baru beberapa hari lepas kita dikejutkan dengan berita Din Beramboi, atau Mior Ahmad Fuad bin Mior Badri,  sedang koma di Hospital Selayang.  Mulanya diberitakan beliau terkena virus kencing tikus.  Kemudian diberitakan bahawa beliau sudah demam sejak Rabu minggu lepas.  Beliau semakin kritikal sehingga tidak boleh bangun tetapi disebabkan tidak suka berjumpa doktor, beliau hanya mendapatkan khidmat urut membuang angin, pada Ahad lalu.

Bila keadaannya sudah semakin teruk barulah pada hari Isninnya beliau pergi untuk mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dengan rumahnya.  Keadaannya sudah begitu kritikal dan beliau dirujukkan ke Hospital Selayang.

Mengikut sumber berita, Pengarah Hospital berkenaan mengatakan bahawa pesakit telah dibawa ke Jabatan Kecemasan pada jam 3.27 petang Isnin dan dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi/'ICU' kerana mengidap 'Dengue Shock Syndrome.'  Pengarah berkenaan juga mengesahkan bahawa beliau mengalami perdarahan dalaman dengan komplikasi kegagalan beberapa organ utama dan keadaannya sangat tenat serta kritikal.

Baru sebentar tadi rakan seperjuangannya selebriti Afdlin Shauki telah sibarkan berita di Facebook.  Beritanya ialah bahawa beliau sudah meninggal sebentar tadi pada jam 12.30 malam.

Begitulah ketentuan Illahi.  Bila dijemput pulang, jasad akan terbujur kaku.  Tiada apa yang dapat dilakukan lagi oleh  diri atau sesiapa pun.  Hanya amalan, amal jariah dan anak soleh yang mampu terus membantu di alam Barzarkh dan di akhirat nanti.

Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya dan mencucuri rahmat ke atas rohnya.  Kepada keluarganya, semoga tabah menghadapi dugaan dan meredhai pemergiannya.