Selasa, 22 Mac 2011

JEJARI KENTANG PENYEK

Sebenarnya saya tak tahu apa ke nama makanan ini dalam Bahasa Malaysia.  Tapi kami sekeluarga memang amat suka dengannya.  Ia kira satu versi 'hash brown'  kot!

Mula kami makan ialah semasa bercuti ke Singapura dua tahun lepas.  Ada kawan suami bawa ke rumah mereka.  Antara makanan yang disajikan ialah makanan ini.

Nak tanya banyak dan minta resipi dari tuan rumah segan pula.  Jadi sekadar cuba-cuba pancing semasa duduk borak-borak.  Tapi tuan rumah pun tak beri resipinya juga.  Beliau hanya beritahu ia kentang penyek goreng.

Jadi selepas itu cuba-cuba sendiri saja.  Walaupun tidak begitu tepat, tapi kira menjadilah.  Janji sedap!  Beginilah rupanya.


Bahan-bahan yang digunakan ialah kentang, sedikit tepung jagung, lada sulah dan garam.  Setelah beberapa kali buat, saya betulkan ikut citarasa sendiri.

Sabtu, 12 Mac 2011

LEDAKAN BENCANA ALAM

Tiba-tiba dunia dikejutkan dengan tsunami di Jepun pula.  Tsunami dilaporkan melanda berdekatan Bandar Natori di Utara Jepun.  Aduh, sungguh menyeramkan.  Banyak nyawa juga sudah terkorban.

Ledakan Bumi
Sumber: Media on-line

Tempias tsunami ini malah sudah terasa sampai ke persisiran Amerika.  Mengikut berita, ribuan penduduk di pantai Pacific Amerika Utara dan Selatan lari meninggalkan rumah mereka.

Walaubagaimanapun, kekuatan gelombang besar air yang merentasi Lautan Pacific menurun.  Jadi hanya berlaku ombak besar dan banjir di sana sini.

Namun begitu, satu dunia mengambil langkah berjaga-jaga.  Sampai ke tanahair kita pun ada amaran supaya berjaga-jaga terutamanya di kawasan Labuan dan Sabah.

Jabatan Khidmat Kajicuaca Malaysia cawangan Sabah menegaskan bahawa laut akan bergelora dari tahap biasa tetapi tidak merbahayakan.  Orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi kawasan pantai.  Namun begitu, ramai penduduk di kawasan berdekatan ambil langkah untuk lebih prihatin dan berjaga-jaga.

Khamis, 3 Mac 2011

PERGI BELANJA & MAKAN

Petang tadi saya ikut sepupu pergi belanja di pasar malam.  Ternampak sebuah kedai makan baru tak jauh dari situ.  Sepupu terus parkir kereta dan kami singgah untuk meninjau.

Ada beberapa pilihan makan petang yang agak menarik.  Selain dari aneka jenis mee/mee hoon/kueteow, ada juga aneka jenis bubur dan kueh-mueh.

Saya tertarik kepada roti surai dengan tiga jenis kari iaitu kari daging, ayam dan udang.  Kami pesan roti surai dengan kari ayam kerana kami lebih suka makan ayam.

Satu Set

Satu set pesanan terdiri dari empat keping soti surai dan semangkuk kari ayam.  Harganya boleh tahan juga iaitu RM 4.00.  Rasanya sedap juga, cuma roti surainya agak nipis.

Isnin, 21 Februari 2011

SNEK PERIA GORENG

Akhirnya hari ini barulah terbuat snek goreng peria.  Ada kawan menamakannya kerupuk peria.  Apa pun, makanannya sama.

Ada orang membuatnya untuk dimakan sebagai sayuran bersama nasi.  Tetapi peria goreng ini juga memang sedap dimakan begitu saja sebagai snek atau pun sebagai hidangan makan petang. 

Snek Peria Goreng

Pertama sekali makanan ini saya makan ialah semasa di majlis makan di rumah seorang teman rapat tidak berapa lama dulu.  Rasanya sedap seperti snek tepung gunting.

Resipi snek ini sebenarnya adalah pemberian Datin Dr Fauziah yang saya jumpa pertama kalinya di majlis yang sama.  Tapi resipinya saya minta semasa berjumpa kembali dengan beliau di satu majlis lain baru-baru ini.

Saya tersalah caranya sedikit menyebabkannya jadi berketul dan melekat di antara sama lain.  Datin sudah pesan supaya jangan digoreng sekaligus.  Tangan ni pun tak pandai pula nak menceraikan yang melekat.  Walaubagaimanapun, rasanya lumayan sedap.

Isnin, 14 Februari 2011

HARGA BARANG & PERKHIDMATAN NAIK

Ramai orang sudah mengeluh panjang dengan keadaan barang yang naik.  Macam-macam barang yang harganya sudah naik.

Ada orang yang masih tak berapa perasan kerana mereka banyak duit.  Tetapi kebanyakan orang sudah merasainya.

Selain dari kerana kekurangan bekalan, kita dikenakan cukai.  Saya sekeluarga pun baru perasan.  Bila beli barang dan makan ada cukai jualan.  Jadi harga barang dan perkhidmatan naiknya berganda.

Sampai bila perkara seperti ini mesti ditanggung oleh kita?

Khamis, 3 Februari 2011

TAHUN BARU CINA

Hari ini adalah Hari Tahun Baru buat kaum China. Saya pun ikut mengucapkan selamat juga kepada semua kaum Cina, terutama warga Malaysia kita.
GONG XI FA CAI
Semoga tahun Arnab ini akan lebih baik dari sebelumnya untuk kita semua.  Amin