Sabtu, 30 Oktober 2010

MADU PAHIT

Memang tajuk klasik.  Tapi nak buat macam mana lagi, memang rasa ini adalah tajuk yang paling tepat sekali.

Kebiasaan madu memang manis.  Madu berkongsi suami saja yang pahit.  Inilah peristiwa yang terjadi tadi yang menguatkan lagi ungkapan ini.

Sewaktu makan kenduri di rumah saudara di sebelah Keramat tadi, tiba-tiba keadaan menjadi kecoh.  Rupanya si isteri tua mengejar suaminya yang datang ke majlis itu bersama-sama dengan isteri mudanya.  Adalah gaya cerita P Ramlee, tetapi ini di majlis orang.

Habis lauk pauk di meja utama untuk 'ala buffet' terbalik.  Ini adalah akibat si suami yang terlanggar hujung meja untuk cuba menjarakkan diri dari isteri tuanya di belakangan meja hidang itu, tetapi kemuadian si isteri tuanya meredah terus saja meja itu.  Semua orang berdekatan terkedu seketika.

Kemudian barulah orang ramai yang turut berada di majlis tu terus 'menangkap' pasangan berkenaan.  Lalu mereka dibawa keluar ke hujung jalan di situ.  Isteri muda pun terus diseret keluar sekali.  Mereka dibiarkan untuk menyelesaikan masaalah mereka sendiri.

Tetapi kasihan tuan rumah/tuan kenduri.  Lauk-pauk habis terbalik atau bercampur aduk semuanya.  Tambahan pula periuk lauk tambah semuanya berada berdekatan meja itu dan ketika kejadian hampir semuanya sedang dibuka untuk ditambah ke meja.

Madu itu bukan saja pahit kepada pasangan yang terlibat.  Tetapi di dalam kes ini turut membawa kesusahan kepada orang lain.

Sabtu, 16 Oktober 2010

BUDGET LAGI

Setiap tahun ada pembentangan budget, dan setiap tahun pemimpin kata ianya baik untuk rakyat dan negara.  Saya dah letih mendengar alasan yang diberikan.

Hairannya setiap kali yang di dalam kerajaan tu tak pernah pun berani mengatakan tentang kepincangan yang ada, lebih-lebih lagi yang ketara.  Pegawai kerajaan sentiasa dipihak yang menerima saja, tiada bantahan!

Sekarang saya dah lali.  Selagi tidak ada pengagihan terus kekayaan dari dana negara kepada rakyat, saya tidak yakin.

Sabtu, 9 Oktober 2010

SAMPAI RAYA HAJI

Hari ini sudah pun masuk 1 Zulkaedah.  Tapi masih ada orang yang buat rumah terbuka sempena sambuatan Hari Raya Aidilfitri.

Ada yang membuatnya berserta dengan majlis doa selamat kerana kelahiran cucu baru.  Yang lainnya turut mengadakan sempena hari pertunangan dan juga akad nikah.  Malah yang buat majlis kenduri kahwin juga.

Saya dan keluarga telah mendapat undangan sampai ke awal bulan depan.  Nampaknya suasana ini akan berterusan sampai ke Hari Raya Haji.

Makin besarlah budget untuk dihulurkan untuk semua upacara ini!

Sabtu, 2 Oktober 2010

BELI ATAU SEWA RUMAH

Anak bujangan kami tengah berbelah bagi samaada nak membeli rumah sekarang ataupun tidak.  Banyak faktor yang harus dipertimbangkan.

"Kalau lebih mahal, mungkin lebih elok sewa saja," katanya kepada bapanya apabila si bapa menasihati si anak membeli rumah.

Saya pun tak tahu mana yang lebih baik sekarang.  Maklum sajalah harga rumah sudah berlipat-lipat ganda sejak 20 tahun dulu.  Rumah yang dahulunya boleh dibeli dengan harga RM200,000 sudah pun menjadi RM600,000 atau lebih.

Diwaktu yang sama gaji hanya naik dalam sekitar 70 - 100 % saja.  Kalau dulu seorang pegawai kelas pertama dibayar antara RM1,000 - RM1,200.  Sekarang seorang pegawai di jawatan yang sama mendapat RM1,800 - RM2,400.

Jika difikir secara logik, mana mungkin seorang pegawai di jawatan ini dapat membeli sebuah rumah yang harganya melebihi RM200,000.  Mahunya bayaran bulanan ansuran rumah sudah mencapai RM1,000 atau lebih setelah dikira bayaran bunga dan sebagainya.

Sekiranya disewa rumah seperti itu, bayaran sewa adalah sekitar RM 500 - RM 600 sebulan bersih.  Tak ada lagi kena bayar kos kerosakan dan sebagainya.

Betul juga kata anak bujangan kami itu.  Jika terlalu banyak ansuran rumah, manakan cukup belanja keperluan lain-lainya.