Jumaat, 25 Jun 2010

GUNA POPULARITI

Semalam artis popular Rosyam Nor telah membuat sidang media khas bagi menjawab dakwaan dia menipu orang ramai menerusi aktiviti syarikat jualan langsung.  Pelakon berusia 43 tahun berbuat demikian bagi membersihkan namanya setelah pelbagai laporan media mendedahkan beberapa ahli yang bernaung di bawah jenama Rosyam Nor Group (RNG) berasa ditipu.

Rosyam berkata dia kini hilang kepercayaan daripada ahli selepas menceburi perniagaan yang menjual produk kesihatan, Power Impian lebih dua bulan lalu. Ketika ini, Rosyam mempunyai 3,000 ahli yang menyertainya.

Mengikutnya RNG bukanlah syarikat jualan langsung atau MLM, tetapi dia juga adalah ahli biasa yang menjalankan perniagaan menerusi Power Impian. Dia percaya syarikat ini kukuh kerana bernaung di bawah syarikat besar dan yakin dengan pelaburan untuk jangka masa panjang.  Katanya sejak laporan negatif itu, perniagaannya terjejas teruk.

Rosyam juga memberitahu dia telah melabur sebanyak RM300,000 untuk menjalankan perniagaan itu termasuk membeli iklan dan mempunyai pejabat sendiri.  Jika di awalnya dia mampu menarik seramai 1,000 pengunjung di ceramah perniagaan mingguannya, tetapi di sessi akhir hanya enam pengunjung yang hadir.

Kita tidak tahu apa masaalah sebenarnya.  Yang jelas ini kes  menggunakan populariti untuk meraih keuntungan.  Dulu Amy Search juga dikaitkan dengan skim MLM dengan menjadi duta produk dan kemudian rekrut ahli.  Rosyam kata perniagaannya ini bukan MLM tapi modus operandi seperti yang diberitahunya sendiri memang gaya MLM.

Kata Rosyam, "... Power Impian sebenarnya membayar bonus pada ahli yang layak jika ada pendaftaran ahli baru.”  Bukankah sistem rekrut ahli baru begitu mirip kepada MLM?

Ahad, 20 Jun 2010

JASA BAPA DIHARGAI

Mungkin ia bukan satu perkara yang betul untuk meluahkan kasih sayang pada satu hari saja kepada warga bapa.  Namun Hari Bapa hanya sebagai simbolik saja.

Bapa adalah orang kedua penting dalam hidup kita.  Ada bapa dapat meluahkan kasing sayang dengan kata-kata juga.  Tetapi hampir semua bapa sanggup berkorban apa saja untuk anak-anak mereka.

Jadi eloklah kita raikan hari ini sebagai penghormatan.  Namun apa yang lebih penting, kita mesti setiap hari menghargai bapa dengan turut mendoakan untuk kesihatan dan kebahagiaan mereka.

SELAMAT HARI BAPA
Semoga Sihat & Bahagia

Rabu, 16 Jun 2010

SEDIH RASA HATI

Sejak tengahari tadi berita ini diulangi berkali-kali.  Semestinya ini adalah berita panas dan sensasi tentang pelakon komedi dan pelawak popular, Saiful Apek, yang dijangka akan didakwa esok kerana salah guna dadah.

Kedengaran suara Apek masih menyahut kepada sapaan wartawan dan mereka yang ada semasa liputan berita dibuat.  Liputan itu adalah di premis Mahkamah bersabit perintah reman yang dilanjutkan sehari lagi bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Saya amat sedih melihat keadaan begini. Kita memang tidak tahu apa sebenarnya masaalah Saiful Apek.  Samalah seperti kita tidak mengerti bagaimana Jamal Abdillah yang bersuara emas dan masih amat disayangi oleh peminat setia telah menghabiskan berjuta-juta Ringgit hasil titik peluhnya untuk dadah. Tapi yang nyata mereka memang ada masaalah.

Semoga Allah memberi petunjuk dan memelihara mereka.  Walaupun ada ramai yang membenci mereka, di luar sana masih banyak juga yang bersimpati dan setia menyanyangi mereka dengan tulus ikhlas.

Ahad, 13 Jun 2010

REKA-BENTUK TERKINI

Ada beberapa reka-bentuk blog baru ditawarkan kepada para blogger.  Saya pun ikut jugalah menukar kosmetik untuk menampilkan sedikit pembaharuan.

Saya lebih menggemari warna-warna yang terang dengan kombinasi putih dan hitam.  Tapi sayadah mencuba beberapa kali, rasa tak puas hati pula.

Akhirnya inilah hasil perubahan yang dibuat.  Keseluruhannya saya rasa penampilan ini memberikan kesan keselesaan.

Ingat nak buat N3 lain tadi, tapi tunda dulu la.  Nak pergi kenduri pula ni.

Selasa, 8 Jun 2010

MANUSIA IBLIS

Polis diberitakan telah menangkap seorang gadis berumur 18 tahun kerana disyaki bersubahat dengan perogol pemandu teksi itu.  Katanya pesubahat itu dipercayai penuntut sekolah menengah dan dia membantu pemandu teksi berkenaan untuk merakam sebahagian aksi rogol berkenaan.  Malah dia dipercayai turut terlibat dalam aksi lucah dengan perogol serta mangsa-mangsanya.

Mengikut keterangan kedua ibu bapa gadis berkenaan, gadis itu juga adalah mangsa rogol pemandu teksi berkenaan.  Selepas itu dia dipaksa untuk melakukan segala rakaman aksi rogol.

Seperti diberitakan minggu lepas, pemandu teksi perogol yang disyaki telah ditangkap di perhentian teksi Jalan Embi.  Ini adalah berikutan laporang polis yang dibuat oleh tiga orang gadis yang mengadu mereka telah dirogol oleh pemandu teksi berkenaan, dan mereka juga telah dijadikan hamba seks selama hampir setahun.

Pemandu teksi yang disyaki berkenaan telah menjadikan 6 orang gadis dalam lingkungan umur 15 - 17 tahun mangsanya.  Mereka menunggu gadis-gadis itu di luar sekolah.  Setelah mereka menaiki  teksinya dia akan berpura-pura mengatakan ada kecemasan di rumahnya.

Setelah berada di rumahnya di Taman Muda, Ampang, dia akan memaksa gadis untuk ke rumaah dan merogol mereka.  Segala aksi itu direkodkan dalam pita video.  Kemudian dia akan mengancam akan menyebarkan pita berkenaan jika mereka memberitahu sesiapa tentang kejadian berkenaan.  Dia juga akan menghubungi gadis-gadis berkenaan bila mahukan seks dengan menggunakan ancaman yang sama.

Manusia pemandu teksi ini memang sudah benar-benar terasuk syaitan dan menjadi iblis!

Rabu, 2 Jun 2010

REGIM ZIONIS SUDAH RASA BAHANG

Kekejaman regim zionis akhirnya terserlah ke seluruh dunia.  Segala tipu helah dan keangkuhan Israel dalam menindas Palestin tidak dapat diterima lagi.

Serangan komando yang tidak berperi kemanusiaan ke atas  kapal Mavi Marmara yang mengepalai misi damai bantuan ke Gaza itu tidak boleh diterima.  Jelas mereka besar kepala melakukakn kekejaman di dalam kawasan yang bukan kawasan sempadan milik mereka.  Mangsa adalah rombongan awam yang dalam misi kemanusiaan sejagat.

Jelas regim zionis ini sudah merasa bahang tekanan dari seluruh dunia kerana 'footage' kekejaman mereka telah berjaya tersebar dengan meluas.  Segala gambar itu menceritakan segala perlakuan mereka.  Bukti-bukti itu sudah cukup kuat dan mereka tidak akan mampu untuk berdolak-dalek dan mempertahankan segala perbuatan kejam mereka.

Reaksi mereka jelas menunjukkan mereka merasa bahang itu.  Perdana Menterinya telah memendekkan lawatannya ke Amerika dan Kanada dan segera pulang untuk menangani isu yang panas ini.    Tahanan dari negara-negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan mereka sudah pun dibebaskan dan dibawa keluar melalui Jordan.

Kiranya apa yang berlaku ada hikmahnya tersendiri. Semoga dunia akan terus memberi tekanan yang kuat kepada regim zionis Israel supaya mereka memberhentikan segala kekejaman.