Isnin, 21 Februari 2011

SNEK PERIA GORENG

Akhirnya hari ini barulah terbuat snek goreng peria.  Ada kawan menamakannya kerupuk peria.  Apa pun, makanannya sama.

Ada orang membuatnya untuk dimakan sebagai sayuran bersama nasi.  Tetapi peria goreng ini juga memang sedap dimakan begitu saja sebagai snek atau pun sebagai hidangan makan petang. 

Snek Peria Goreng

Pertama sekali makanan ini saya makan ialah semasa di majlis makan di rumah seorang teman rapat tidak berapa lama dulu.  Rasanya sedap seperti snek tepung gunting.

Resipi snek ini sebenarnya adalah pemberian Datin Dr Fauziah yang saya jumpa pertama kalinya di majlis yang sama.  Tapi resipinya saya minta semasa berjumpa kembali dengan beliau di satu majlis lain baru-baru ini.

Saya tersalah caranya sedikit menyebabkannya jadi berketul dan melekat di antara sama lain.  Datin sudah pesan supaya jangan digoreng sekaligus.  Tangan ni pun tak pandai pula nak menceraikan yang melekat.  Walaubagaimanapun, rasanya lumayan sedap.

Isnin, 14 Februari 2011

HARGA BARANG & PERKHIDMATAN NAIK

Ramai orang sudah mengeluh panjang dengan keadaan barang yang naik.  Macam-macam barang yang harganya sudah naik.

Ada orang yang masih tak berapa perasan kerana mereka banyak duit.  Tetapi kebanyakan orang sudah merasainya.

Selain dari kerana kekurangan bekalan, kita dikenakan cukai.  Saya sekeluarga pun baru perasan.  Bila beli barang dan makan ada cukai jualan.  Jadi harga barang dan perkhidmatan naiknya berganda.

Sampai bila perkara seperti ini mesti ditanggung oleh kita?

Khamis, 3 Februari 2011

TAHUN BARU CINA

Hari ini adalah Hari Tahun Baru buat kaum China. Saya pun ikut mengucapkan selamat juga kepada semua kaum Cina, terutama warga Malaysia kita.
GONG XI FA CAI
Semoga tahun Arnab ini akan lebih baik dari sebelumnya untuk kita semua.  Amin

Jumaat, 28 Januari 2011

NAK DUKUNG ANAK

Hari ini anak saudara suami disahkan mengidap barah hati dan juga pra-diabetik.  Muda lagi umurnya, iaitu baru pertengahan tiga puluh.  Semua keluarga turut sedih.

Ternyata penyakit-penyakit ini tidak mengenal usia.  Di samping sudah diberi ubat untuk penyakitnya, dia juga dijadualkan menjalani beberap ujian.

Saya teringat N3 Datin Dr Fauziah yang menyentuh tentang beberapa petua-petua tradisional untuk mengatasi masaalah kesihatan seperti ini.  Selepas membaca semula beberapa N3s beliau, ternyata beliau menyarankan supaya mengamalkan minum air dukung anak.

Besok ramai sanak saudara berjanji untuk bantu mencari pokok dukung anak ni.  Semoga dipermudahkan dan anak saudara suami akan tertolong nanti. 

Ahad, 16 Januari 2011

HERAN, MUAK & GELI RASANYA

Saya memang tak habis fikir tentang manusia wanita yang bernama Ummi Hafilda tu.  Ada rupanya wanita yang serendah itu akal dan hati nuraninya.  Heran betul!  Rasa muak dan geli dengan telatahnya!

Apa yang paling mengecewakan ialah dia terpekik sana sini cuba menekankan tentang keaiban orang dan mengaku melakukan demikian kerana Islam!  Betapa tidak Islamnya perbuatan dia!

Seorang Islam tidak akan menjaja keburukan orang, biar benar sekalipun!  Agama melarangnya kerana bukan begitu caranya untuk memperbaiki keadaan yang tidak baik dan membantu orang memperbaiki kelemahan dan keburukan diri mereka.

Mahukah dia orang juga turut menelanjangkan diri dia nanti.  Memang ada banyak bukti keburukannya!

Tentulah perbuatan seumpama yang dilakukan itu jauh lebih keji jika semuanya satu fitnah jahat.  Balasannya di Akhirat nanti amat pedih kerana dosanya berat seperti membunuh orang.  Apapun tujuannya, caranya adalah anti-Islamik!

Jumaat, 7 Januari 2011

BUAT JAMU SENDIRI

Biasanya orang membeli jamu yang sudah diproses di kedai.  Kebanyakan jamu adalah produk Indonesia.  Sekarang sudah ada dua tiga syarikat tempatan yang menjadikan herba sebagai produk mereka.  Yang ketara ialah produk orang kampung.

Sebenarnya kita boleh membuat sendiri jamu yang kita perlu.  Banyak bahan mentah digunakan memang barang yang kita selalu beli sebagai barang keperluan iaitu seperti halia, serai, kunyit, bawang merah, bunga cengkih, beras dan limau.

Bahan-bahan yang sentiasa kita beli untuk kegunaan harian ini ada khasiat yang boleh dimanafaatkan menjadi bahan jamu.  Umpamanya halia boleh memanaskan badan dan menghilangkan angin; serai boleh dicampur dengan sirih untuk menghilangkan bau badan; dan kunyit boleh menghilangkan gatal serta menyembuhkan luka.

Barang keperluan seharian mudah dijadikan jamu dan boleh dimakan/minum secara teratur untuk mengatasi masaalah atau menjaga kesihatan badan.  Kita hanya tinggal menumbuk atau mengisarkannya dan diamal makan/minum setiap hari mengikut keperluan.  Ini adalah lebih baik kerana kita buat sendiri secara segar dan tidak mempunyai bahan awet.

Bahan yang tumbuh liar sebagai sebahagian dari rumput rampai di halaman rumah kita juga boleh dijadikan jamu untuk bantu menjaga dan mengatasi masaalah kesihatan.  Antaranya ialah byam duri dan pokok dukung anak.  Bayam duri boleh mengubati selsema, sesak nafas dan bisul.  Sementara dukung anak boleh mengatasi masaalah barah hati dan batu karang.